Pengenalan

Bahasa Perancis masih lagi merupakan bahasa moden yang diajarkan secara meluas di Britain. Ia bukan sahaja bahasa yang dituturkan di negara jiran terdekat kita di benua Eropah sana, namun ia turut menjadi salah satu bahasa penting dalam European Communities serta bahasa utama bagi perdagangan dan kebudayaan di benua Afrika.

Buku ini disusun untuk membantu pelajar yang ingin membaca, menulis dan bertutur bahasa Perancis supaya mereka mampu menduduki pelbagai ujian yang diaturkan oleh pelbagai badan peperiksaan untuk Ordinary Level dan General Certificate of Education di Britain. Tujuan buku ini adalah untuk:
  • membantu pelajar belajar sendiri;
  • merujuk pelbagai jenis model karangan bahasa Perancis serta menjawab soalan-soalan yang disediakan dalam latihan;
  • memberi nasihat mengenai cara untuk menangani soalan-soalan yang terdapat dalam pelbagai jenis peperiksaan.
Bahagian I dan bahagian II dalam buku ini memberi penekanan kepada tatabahasa bahasa Perancis. Bahagian III pula menyediakan soalan-soalan yang membolehkan pelajar bersedia untuk menjawab peperiksaan. Setiap satu daripada tiga bahagian ini ditulis oleh guru-guru yang berpengalaman mengajar di dalam kelas dan juga yang berpengalaman dalam memeriksa kertas soalan peperiksaan.

Pemeriksa kertas soalan dari pelbagai badan peperiksaan berulang kali menunjukkan dalam laporan mereka bahawa kebanyakan calon peperiksaan yang gagal itu telah cuai, tidak menggunakan sepenuhnya pengetahuan bahasa mereka dan menggunakan pengetahuan mereka secara tidak tepat. Diharapkan juga pelajar-pelajar dapat memberikan perhatian yang khusus pada bahagian III dalam buku ini. Bahagian ini membantu pelajar dalam menjawab pelbagai jenis soalan dan membantu mereka menggunakan pengetahuan mereka dengan tepat.

Kefasihan bertutur tidak hanya dicapai melalui pembacaan dan penulisan. Pelajar perlu menggunakan dan mengulangi pelajaran mereka dengan bercakap supaya pelajaran itu sebati dengan corak percakapan mereka. Pelajar boleh memperbaiki pendengaran mereka dengan mendengar ucapan di radio atau rekod dan memperbaiki kefasihannya menerusi pembacaan secara lantang dari karya-karya bahasa Perancis moden seperti akhbar atau majalah yang banyak didapati di Britain.